Jamawi Gesa JKR Segera Laksana Projek Jalan Raya Tenom–Pangi

Jamawi Gesa JKR Segera Laksana Projek Jalan Raya Tenom–Pangi

0
SHARE

TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) agar segera memulakan projek pembinaan jalan raya Tenom–Pangi bagi meningkatkan akses pengangkutan yang lebih selamat kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Gesaan itu disuarakan susulan insiden sebuah kereta api yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi dilaporkan mengalami masalah brek tidak berfungsi dalam kejadian yang berlaku pada pagi Selasa.

Jamawi berkata beliau menerima maklumat mengenai insiden tersebut sejurus selepas kejadian berlaku.

“Saya mendapat maklumat berlakunya kejadian masalah brek tidak berfungsi kepada kereta api yang membawa guru-guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu, tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di atas landasan berjaya memperlahankan dan seterusnya menghentikan pergerakan kereta api berkenaan.

“Tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di landasan berjaya menghentikan kereta api tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan semua guru yang berada dalam kereta api tersebut selamat.

Sehubungan itu, Jamawi yang juga wakil rakyat kawasan berkenaan memohon Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Saya memohon dan mengharapkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah mengadakan siasatan penuh terhadap perkara ini serta mengambil langkah segera supaya kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa aspek keselamatan penumpang perlu diberi perhatian serius, khususnya guru-guru dan penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama ke kawasan pedalaman seperti Pangi.

Dalam masa sama, Jamawi sekali lagi menggesa agar projek pembinaan jalan raya Tenom–Pangi yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri pada awal tahun 2025 disegerakan pelaksanaannya.

“Saya juga memohon pihak JKR untuk segera memulakan projek jalan raya Tenom–Pangi yang telah pun diluluskan oleh Ketua Menteri pada awal tahun 2025 dan difahamkan kontraktor juga sudah dilantik,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan amat penting bagi menyediakan alternatif pengangkutan darat yang lebih selamat dan selesa, selain mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api di laluan tersebut.