Peguam Nafi Spekulasi Zara Dimasukkan ke dalam Mesin Basuh dan Kecam Penyebaran...

Peguam Nafi Spekulasi Zara Dimasukkan ke dalam Mesin Basuh dan Kecam Penyebaran Gambar Pelajar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pasukan peguam kepada Noraidah Lamat ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, menafikan sekeras-kerasnya beberapa spekulasi yang tular di media sosial, termasuk dakwaan kononnya Zara telah dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum meninggal dunia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri hari ini, mereka menyatakan bahawa wanita yang muncul dalam video menyebarkan dakwaan tersebut tidak pernah menerima maklumat sedemikian daripada anak guam mereka.

“Anak guam kami tidak pernah menyatakan perkara itu kepada sesiapa. Kami memohon wanita berkenaan menyalurkan maklumat kepada polis jika benar dakwaan tersebut,” ujar mereka.

Turut dinafikan adalah penyebaran gambar kononnya Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada jam 8.00 pagi 16 Julai 2025. Peguam menjelaskan bahawa kronologi tersebut bukan datang daripada pihak keluarga.

Peguam turut menegaskan bahawa penyebaran gambar pelajar-pelajar sekolah beserta kenyataan negatif terhadap mereka di platform media sosial adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15, Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 211 dan 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, penyebaran senarai nama pelajar dan maklumat peribadi mereka juga dianggap menyalahi undang-undang bawah Seksyen 130, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Seksyen 233(1), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kami menyeru agar semua penyebaran gambar, video dan kenyataan berbentuk spekulasi terhadap pelajar dan keluarga dihentikan serta-merta. Mereka yang telah memuat naik disaran memadam kandungan tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Peguam turut memohon agar orang awam yang memiliki sebarang maklumat berkenaan kes kematian Zara agar menyalurkannya secara langsung kepada pihak polis bagi membantu siasatan, bukan melalui media sosial yang hanya menambah tekanan kepada keluarga mangsa.