RANAU, SABAH – Kehilangan seorang warga emas yang masuk ke hutan untuk memeriksa jerat di Kampung Tinanom di sini, enam hari yang lalu, terjawab dengan penemuan mayat beliau semalam.
Pasukan Bomba Daerah bersama orang awam menemui mayat Moijin Gamiyan, 65, tersangkut pada batu di Sungai Keliau pada jam 1.35 tengah hari kira-kira 1 KM daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata antara kesukaran yang dihadapi pasukan di lokasi kejadian berjarak 75 KM daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ranau adalah masalah liputan rangkaian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Polis dan diserahkan kepada mereka untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 6 petang.
Anjing khas pengesan mayat, Fleur dan Lexi juga digunakan dalam operasi pencarian yang telah berlangsung selama tiga (3) hari yang lalu.
VIDEO Lexi dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah membantu dalam operasi mencari dan menyelamat…(Sumber Video: Ihsan Bomba Sabah)