TAWAU, SABAH – Cubaan TUJUH (7) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia menyusup ke dalam negara digagalkan Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) semalam.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejayaan operasi kira-kira pukul 10.15 malam itu berdasarkan aduan daripada penduduk kampung.
Menurutnya, penduduk kampung Kurnia Jaya menyedari kehadiran PATI yang menaiki kenderaan jenis MPV.
“Tim QRF telah mendapatkan butir kenderaan yang dinaiki PATI dan berjaya mengesan kedudukan kenderaan tersebut…
“Pasukan bertindak mengekori kenderaan yang disyaki sehingga ke Terminal Bas Tawau bagi membuat pemeriksaan dan pengesahan.
“Kenderaan yang membawa PATI tersebut telah bertindak menurunkan kesemua penumpang dan melarikan diri dengan memecut laju selepas menyedari kehadiran Tim QRF,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua individu lelaki berusia antara 22 hingga 80 tahun mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah bagi memasuki Malaysia.
Abdul Karim berkata tujuan mereka datang ke Sabah adalah bagi mencari peluang pekerjaan.
“Mereka memaklumkan telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke Terminal Bas Tawau…
“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tawau pada jam 2.30 pagi tadi menggunakan kenderaan mengangkut pesalah milik Polis.
“Kesemua PATI diserahkan kepada IPD Tawau bagi proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya,” jelasnya.