KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta hari ini.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ini sekaligus MUDA akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Menurutnya, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat yang diutuskan pada Ahad.
Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata, antara sebab utama tindakan itu adalah kerana langkah Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhir-akhir dilihatnya bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“MUDA berpegang teguh kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan beberapa keputusan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini bertentangan dengan prinsip dan nilai tersebut.
“Isu integriti dan budaya rasuah turut menjadi faktor mengapa MUDA mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan video yang dikongsi menerusi media sosial, petang ini.
Syed Saddiq berkata, keputusan Peguam Negara melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan ketika prosiding berada di peringkat bela diri, tanpa penjelasan meyakinkan, menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat secara umum.
Susulan keputusan Peguam Negara itu, MUDA mempercayai institusi perundangan negara telah dicemari dan kerajaan seolah-olah telah menormalisasikan budaya rasuah.
“Janji-janji reformasi yang dijanjikan sebelum pilihan raya telah banyak diabaikan dengan memberi alasan kerajaan ini kerajaan baru,” katanya.
Syed Saddiq memberi jaminan, walaupun berada dalam blok pembangkang, beliau komited menyokong usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara progresif yang memerlukan undi dua pertiga dalam Dewan Rakyat seperti agenda reformasi institusi.
Menerusi video yang dikongsikan itu, Syed Saddiq mendakwa, pernah ditawarkan jawatan menteri ketika Langkah Sheraton berlaku.
“Saya ditawarkan jawatan menteri, pengerusi GLC (namun) saya tolak. Diugut. Saya lawan. Saya lawan kerana mahu membina Malaysia yang bermaruah dan berintegriti,” katanya.
“Siapa sangka hari ini, ada kerajaan yang diperbaharui yang menggugurkan pertuduhan rasuah demi kekal berkuasa…
“Saya tidak akan berhenti, tidak akan sekali-kali membenarkan Malaysia menormalisasikan rasuah. Saya seorang rakyat Malaysia yang berbangga dan ingin melihat negara bertuah ini menjadi negara maju,” tegasnya.
Minggu lalu, Syed Saddiq menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak menilai kedudukannya semula sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan jika tiga tuntutan terhadap perkembangan kes membabitkan Zahid yang juga Presiden UMNO tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan.
Beliau yang dipetik BH berkata, MUDA menganggap keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu terhadap kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah suatu perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengingatkan Syed Saddiq bahawa kemenangan MUDA di Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, adalah dicapai hasil sokongan daripada pengundi PH.