TENOM: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyumbangkan motosikal baharu kepada enam pemilik motosikal troli yang bertindak berani membantu mengelakkan kemungkinan tragedi lebih besar dalam insiden kereta api mengalami kegagalan fungsi brek di Kampung Pangi, awal pagi kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian dan tindakan pantas enam anak muda terbabit.
Menurutnya, tindakan enam pemilik motosikal troli yang meletakkan kenderaan mereka di atas landasan telah membantu memperlahankan pergerakan kereta api yang ketika itu tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh pemandunya.
“Tanpa kehadiran enam motosikal troli tersebut, keadaan mungkin menjadi lebih buruk memandangkan kereta api berkenaan tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh pemandu ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jamawi berkata, kedudukan motosikal troli di atas landasan berjaya memperlahankan pergerakan kereta api sekali gus memberi ruang kepada pemandu mengawal situasi dengan lebih tenang.
Beliau turut memuji tindakan pemandu kereta api yang kekal tenang ketika berdepan situasi cemas itu.
“Tahniah kepada pemandu kereta api yang kekal tenang dan tidak panik dalam mengawal keadaan. Tindakan pantas dan keberanian enam anak muda ini wajar dihargai kerana mereka sebenarnya adalah wira tidak didendang,” katanya.
Sehubungan itu, Jamawi merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas keprihatinan menyumbangkan motosikal baharu bagi menggantikan enam motosikal troli yang musnah atau rosak dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan kata semangat kepada guru-guru Sekolah Kebangsaan Pangi agar terus cekal mendidik anak bangsa di kawasan pedalaman walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Saya bangga dengan komitmen dan semangat para guru yang terus berkhidmat demi masa depan anak-anak di pedalaman,” katanya.






