KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan penyamaran dan penyalahgunaan nama pegawai serta jabatan bagi membuat tempahan pembekalan palsu melalui aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp.
Dalam satu kenyataan hari ini, DBKK memaklumkan pihaknya mengambil maklum beberapa kejadian baru-baru ini yang melibatkan individu tidak bertanggungjawab menyamar menggunakan identiti serta jawatan pegawai kanan DBKK bagi membuat tempahan pembekalan palsu.
Menurut DBKK, semua urusan tempahan pembekalan yang sah hanya dibuat melalui saluran rasmi iaitu melalui surat atau e-mel rasmi DBKK yang disertakan dokumen berkaitan dan diperakui.
“Orang ramai diminta mengambil maklum bahawa semua tempahan pembekalan adalah tertakluk kepada pemakluman secara bertulis melalui surat atau e-mel rasmi DBKK serta dokumen yang diperakui, dan bukan melalui saluran peribadi seperti aplikasi WhatsApp, akaun media sosial persendirian atau panggilan tidak rasmi,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum menerima atau memproses sebarang tempahan yang menggunakan nama DBKK.
Pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Pengurusan Korporat, Jabatan Hal Ehwal Korporat DBKK di talian 088-521800 bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
DBKK turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan penyamaran atau penipuan tersebut.
Dalam masa sama, orang ramai yang mengesyaki berlaku cubaan penipuan diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.






