SANDAKAN: Tiga buah rumah dan tiga kedai runcit jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Bukit Nenas, Karamunting, awal pagi tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.01 pagi sebelum sepasukan 14 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.14 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan berkeluasan kira-kira 90 x 150 kaki dengan keseluruhan struktur terbakar 100 peratus.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah dan tiga buah kedai runcit jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya. Sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 turut terbakar dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 800 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta bantuan Water Tanker.
Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.31 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran ini. Pasukan bomba juga berjaya menyelamatkan kira-kira 350 buah rumah kediaman berhampiran daripada turut musnah terbakar,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh Bomba Komuniti Kampung Bokara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sabah Electricity.






