SEOUL – Syarikat Samsung Electronics melarang pekerja di bahagian mudah alih dan peralatannya daripada menggunakan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) generatif seperti ChatGPT.
Larangan berkenaan berikutan kejadian penyalahgunaan’ teknologi itu.
Minat terhadap chatbots kecerdasan buatan melonjak sejak pelancaran ChatGPT yang disokong Microsoft pada November lalu.
Memetik laporan AFP, ChatGPT menyebabkan sensasi global bagi menghasilkan esei, lagu, peperiksaan dan juga artikel berita menggunakan gesaan ringkas.
Pengkritik bimbang mengenai cara ChatGPT dan pesaingnya mengumpul dan memproses data.
Firma kewangan utama termasuk Goldman Sachs, melarang atau menyekat penggunaan platform seperti ChatGPT di kalangan pekerjanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Samsung Electronics Korea Selatan, salah satu pengeluar cip memori dan telefon pintar terbesar di dunia, kini menyertai senarai itu.
Larangan itu dikenakan kepada kakitangan di bahagian mudah alih dan peralatan.
Menerusi memo dalaman Samsung dikatakan sedang berusaha mencari cara untuk menggunakan perkhidmatan AI generatif dalam “persekitaran selamat untuk pekerja supaya kecekapan dan kemudahan kerja dapat dipertingkatkan”.
“… sehingga langkah-langkah ini disediakan, kami melarang penggunaan perkhidmatan AI generatif untuk komputer milik syarikat buat sementara waktu,” katanya.
Memo daripada firma yang berpangkalan di Suwon itu juga menasihatkan kakitangan untuk mengelak daripada memuat naik maklumat berkaitan kerja ke platform sedemikian apabila log masuk menggunakan komputer peribadi di luar premis syarikat.
Ia mengatakan terdapat ‘kejadian penyalahgunaan’ ciri seperti ChatGPT oleh pekerja Samsung, tanpa memberikan butiran lanjut.
Lebih daripada 60 peratus kakitangan Samsung menerusi tinjauan dalaman menyatakan terdapat risiko keselamatan dengan menggunakan platform AI generatif dengan peranti syarikat, menurut memo berkenaan.