SANDAKAN, SABAH – Sebanyak 800 kilogram ikan bilis kering dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan di perairan Sandakan baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Pamaguan sedang menuju ke Pulau Taganak pada pukul 1.25 petang hari kejadian.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang awak-awak masing-masing berumur 35 dan 56 tahun yang mana kedua-duanya merupakan warga asing.
“Pemeriksaan lanjut ke dalam vesel seterusnya menemui 13 guni berisi ikan bilis kering dengan anggaran berat 800 kilogram dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina.
“Nilai rampasan termasuk ikan bilis kering, enjin sangkut dan vesel dianggarkan berjumlah lebih RM48,000.” katanya dalam sebuah kenyataan.
Tambahnya, kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia kerana membawa keluar ikan bilis kering untuk tujuan eksport tanpa lesen yang sah, kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.