Kes COVID-19 Sabah Menurun, Tetapi Majlis Hari Jadi Cetus Kluster Long Pasia...

Kes COVID-19 Sabah Menurun, Tetapi Majlis Hari Jadi Cetus Kluster Long Pasia Di Sipitang

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penurunan kecil sebanyak tujuh (7) kes pada angka harian kes COVID-19 baharu dicatatkan hari ini.

Terdapat 12 daerah yang merekodkan peningkatan kes manakala 15 daerah lagi mencatatkan penurunan kes.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dengan kumulatif 993 kes, Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan kes sebanyak 116 dua (2) kes.

“Angka kes bagi bandar-bandar lain ialah Lahad Datu 92 (+43) kes, Tawau 50 (+19) kes, Penampang 22 (-36) kes, Sandakan 69 (-27) kes, Kudat 25 (-4) kes dan Putatan 14 (-3)…

“Daerah lain yang merekodkan peningkatan ketara pada hari ini ialah Tongod 38 (+38) kes, Tenom 55 (+21) kes dan Beluran 23 (+15) kes.

“Manakala daerah yang merekodkan penurunan signifikan pula ialah Ranau 60 (-39) kes, Papar 30 (-22) kes dan Kunak 8 (-10) kes,” katanya.

Satu kluster baru dikesan, Kluster Long Pasia di daerah Sipitang berpunca daripada sambutan Majlis Hari Jadi yang dihadiri oleh penduduk kampung.

Masidi berkata hingga kini, 25 orang telah didapati positif hasil saringan yang dijalankan ke atas 30 individu.

“Kluster Long Pasia ini serta Kluster Mokodou di Ranau yang diistiharkan kelmarin agak mengecewakan dalam usaha kita memerangi pandemik…

“Kedua kes ini jelas menunjukkan masih ada penduduk kita yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia secara serius.

“Kelalaian dan sikap acuh tak acuh telah mengakibatkan jangkitan virus COVID-19 yang melibatkan ramai penduduk,” tegasnya.

Beliau menggesa pegawai daerah, ketua masyarakat serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) khususnya diperingkat akar umbi memantau acara-acara sosial di kampung.

“Ini untuk memastikan pematuhan ketat kepada semua SOP. Kerjasama rakyat jelata amatlah penting bagi membolehkan kita memenangi perang melawan pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Dalam pada itu Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 487 kes atau 49 peratus.

Jumlah pesakit tertinggi, 799 kes atau pun 80 peratus daripada kumulatif hari ini berada dalam Kategori 2 manakala lapan (8) kes berada dalam Kategori 5.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (30 Sept) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu – 116 (114)
Lahad Datu – 92 (49)
Sandakan – 69 (96)
Kota Marudu – 66 (70)
Keningau – 61 (66)
Ranau – 60 (99)
Tenom – 55 (34)
Tuaran – 55 (51)
Kota Belud – 54 (59)
Tawau – 50 (31)
Tongod – 38 (0)
Papar – 30 (52)
Pitas – 28 (29)
Beaufort – 27 (29)
Kudat – 25 (29)
Beluran – 23 (8)
Penampang – 22 (58)
Kinabatangan – 19 (18)
Nabawan – 19 (20)
Sipitang – 19 (13)
Tambunan – 18 (17)
Putatan – 14 (17)
Semporna – 10 (12)
Kunak – 8 (18)
Telupid – 6 (4)
Kalabakan – 5 (0)
Kuala Penyu – 4 (7)