NABAWAN, SABAH – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan sejumlah RM7.4 juta kepada ahlinya di daerah Nabawan di sini bagi tahun ini.
Pengurus Besar AIM Wilayah Sabah Barat, Norashifah Salleh berkata peruntukan besar itu adalah modal pembiayaan semasa kepada 1,912 ahli sah AIM.
“Komitmen kami (AIM) ialah memastikan ahli-ahli di sini (Nabawan) mampu bersaing dalam apa juga situasi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sejak AIM bertapak di Nabawan pada 2014 sejumlah RM43.243 juta telah diperuntukkan sebagai modal pembiayaan kepada ahlinya manakala kadar bayaran balik semasa adalah 94.67 peratus.
“Ini menunjukkan AIM Nabawan sangat aktif. Komitmen mereka untuk meningkatkan sosioekonomi adalah tinggi selain komitmen peserta membayar semula pinjaman,” katanya.
AIM Nabawan merupakan satu daripada 13 cawangan AIM di wilayah Sabah barat yang sangat aktif.
Norashifah berkata AIM berperanan membimbing serta memberi ilmu kemahiran dan keusahawanan kepada semua ahli melalui skim latihan dan pembelajaran berterusan.
“Melalui konsep sayangi, fahami dan yakin dengan golongan miskin, AIM terus berusaha mengubah taraf kehidupan ahli-ahli AIM,” katanya.