Shahelmey Tegaskan Kerjasama Erat Demi Pembangunan Setara Di Sabah

Shahelmey Tegaskan Kerjasama Erat Demi Pembangunan Setara Di Sabah

0
SHARE
Datuk Ir Shahelmey Yahya, Ahli Parlimen Putatan...

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang setara di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-15.

“Saya amat berharap dengan kerjasama erat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang ada pada masa ini, aspirasi pembangunan Sabah dapat direalisasikan,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menyambut baik penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah, yang dijangka dapat membuka peluang kepada pelajar meneroka bidang teknikal sejajar dengan keperluan industri.

“Pemerkasaan bidang TVET adalah kunci penting kepada pembangunan negeri yang progresif dalam pelbagai sektor ekonomi. Penyertaan anak-anak muda Sabah dalam TVET harus disokong dengan penyediaan platform pembiayaan pendidikan serta saluran kemasukan ke institusi TVET yang diiktiraf kerajaan,” katanya.

Selain itu, Shahelmey turut menekankan kepentingan pelaburan asing yang mengambil kira ketersediaan tenaga mahir tempatan dan modul pendidikan yang relevan dengan keperluan industri.

Beliau juga menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperketat pemantauan serta penguatkuasaan ke atas kenderaan berat di jalan raya Sabah bagi mengurangkan kerosakan infrastruktur akibat bebanan berlebihan.

Dalam perbahasannya, beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai projek-projek tergendala di daerah Putatan, khususnya pembinaan Stadium Mini Majlis Daerah Putatan yang mengalami kelewatan.

“Saya meminta Kementerian Belia dan Sukan mengambil tindakan tegas bagi memastikan pembinaan mini stadium ini dapat disiapkan dalam tahun ini juga kerana masyarakat Putatan sudah terlalu lama menantikannya,” katanya.

Shahelmey turut mencadangkan agar wakil tambahan dari Sabah dilantik dalam Lembaga Jurutera Malaysia bagi memastikan input lebih luas daripada pengamal industri tempatan dapat dimanfaatkan dalam pembangunan sektor kejuruteraan negara.