MARDI Salur Geran RM215,000 Kepada Usahawan Bawang Merah Sabah

MARDI Salur Geran RM215,000 Kepada Usahawan Bawang Merah Sabah

0
SHARE

KUNDASANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyalurkan Geran Usahawan Perintis berjumlah RM215,000 kepada empat usahawan tani bawang merah tempatan bagi memperkukuh pengeluaran benih bawang merah di Sabah.

Penerima geran tersebut ialah Shahrizal Denci dari Kundasang yang menerima RM180,000, Hezzro Abie dari Tambunan (RM25,000), Mohd Roslie Ahmaddani dari Kota Marudu (RM5,000) dan Justin Sansalu dari Paitan, Sandakan (RM5,000).

Penyerahan geran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup semasa lawatan rasmi beliau ke Plot Pengeluaran Benih Bawang Merah Usahawan Tani di bawah bimbingan MARDI, Kampung Tanah Merah, Mesilou Sabtu lalu.

Arthur menjelaskan bahawa pemberian geran ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan jaringan usahawan tani bawang merah serta meningkatkan kapasiti pengeluaran benih tempatan.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui MARDI turut menyediakan sokongan teknikal dalam pelbagai aspek termasuk agronomi, kawalan penyakit, pengurusan ladang dan penggunaan benih berkualiti bagi memastikan projek yang dijalankan dapat berkembang secara mampan.

“Lawatan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan ekosistem bawang merah tempatan dan menjadikan Kundasang sebagai hab pengeluaran utama negara menjelang tahun 2030,” katanya.

Tambah Arthur, Sabah mempunyai potensi tinggi dalam penanaman bawang merah kerana faktor agroiklim tanah tinggi di kawasan seperti Kundasang, Tambunan, Ranau serta beberapa kawasan lain yang mempunyai suhu sederhana dan tanah subur.

Buat masa ini, sebahagian besar keperluan bawang merah negara masih bergantung kepada import, namun pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.

Sehingga tahun 2025, keluasan penanaman bawang merah di Sabah dianggarkan sekitar tujuh ekar yang melibatkan lebih 15 usahawan tani, termasuk projek rintis di bawah bimbingan MARDI.

Dengan sokongan kerajaan, keluasan ini dijangka berkembang kepada lebih 100 hektar menjelang 2030, sekali gus berpotensi mengurangkan kebergantungan import sehingga 30 peratus.

Bagi penerima geran terbesar, Shahrizal Denci yang berusia 43 tahun, beliau kini dalam perancangan memperluaskan kawasan penanaman bawang merahnya kepada 40 ekar bermula Oktober 2025 dengan sasaran pengeluaran sehingga 200 metrik tan.

Katanya, beliau kini mengusahakan penanaman seluas lima ekar dengan hasil sebanyak 20 metrik tan bagi dua musim penanaman.

“Hasil penyelidikan varieti bawang oleh MARDI telah membuktikan bahawa bawang merah tempatan mampu mencapai hasil antara empat hingga enam metrik tan sehektar, bergantung kepada amalan agronomi dan pengurusan ladang yang baik.

“Saya yakin potensi ini mampu melonjakkan Sabah sebagai negeri peneraju pengeluaran bawang merah negara,” katanya.