KOTA KINABALU: Proses regenerasi kepimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berjalan lancar apabila semakin ramai pemimpin baharu dipilih menerajui bahagian parti di Sabah, sekali gus memperkukuh kesinambungan perjuangan menjelang Kongres UPKO bulan depan.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan Mesyuarat Agung Tritahunan di seluruh bahagian memperlihatkan perubahan positif apabila beberapa bahagian kini dipimpin ketua baharu, selain ramai muka baharu menawarkan diri bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) serta Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda.
Katanya, perkembangan itu membuktikan proses peralihan kepimpinan dalam parti berlangsung secara sihat apabila pemimpin terdahulu memberi ruang kepada generasi baharu tanpa meminggirkan pengalaman mereka.
“Kita mahu mengekalkan sebahagian pemimpin kanan yang masih menawarkan diri, tetapi pada masa sama mengangkat wajah-wajah baharu supaya mereka dapat bersama menerajui parti.
“Pemimpin lama masih boleh terus menyumbang melalui Majlis Penasihat di peringkat bahagian, manakala pemimpin baharu akan membawa idea, semangat dan pendekatan baharu dalam memperkukuh parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Bersama UPKO Bahagian Putatan dan Kota Kinabalu di Putatan, pada Sabtu.
Menurut Ewon, antara bahagian yang kini diterajui ketua baharu ialah Putatan, Papar, Kimanis, Beaufort, Ranau, Keningau dan Kota Marudu, dengan kebanyakannya berusia sekitar lingkungan 40-an.
Beliau berkata, keadaan itu selari dengan aspirasi UPKO yang memberi ruang lebih luas kepada generasi muda untuk memimpin di semua peringkat parti.
Katanya, Kongres UPKO yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Ogos di Hongkod Koisaan KDCA dijangka menjadi platform penting untuk memilih barisan kepimpinan baharu bagi meneruskan agenda perjuangan parti.
Menyentuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), Ewon berkata UPKO akan mengemukakan cadangan calon parti kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, termasuk memberi pertimbangan kepada calon muda tanpa mengetepikan penyandang yang masih berkhidmat dengan baik.
Beliau turut menegaskan khidmat Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, masih diperlukan kerana peranannya yang aktif membawa suara serta kepentingan Sabah di Parlimen.
Mengulas hasrat UPKO Bahagian Putatan untuk bertanding di kerusi Parlimen Putatan, beliau berkata setiap bahagian bebas mengemukakan pandangan, namun sebarang keputusan muktamad akan ditentukan melalui rundingan dalam GRS dan dipatuhi semua pihak.
Dalam perkembangan sama, Ewon berkata UPKO akan mengemukakan cadangan rasmi kepada Ketua Menteri Sabah mengenai persempadanan semula kawasan Parlimen di negeri itu.
Menurutnya, semakan baharu perlu dilakukan memandangkan persempadanan terakhir dibuat pada 2004, selain menyokong usaha menambah kerusi Parlimen Sabah sebagai sebahagian daripada tuntutan agar Sabah dan Sarawak memperoleh satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.






