Wani Kayrie Tampil Dengan Single Baharu “Cak Cak Cekuk”, Angkat Kisah Cinta...

Wani Kayrie Tampil Dengan Single Baharu “Cak Cak Cekuk”, Angkat Kisah Cinta Pasangan Muda

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Wani Kayrie kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul “Cak Cak Cekuk”, sebuah lagu pop moden yang sarat dengan elemen tradisional dan mesej bermakna.

Lagu ini diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment dan mendapat sentuhan kreatif daripada komposer Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.

Mengambil inspirasi daripada lagu rakyat “Cak Cekur Udang Gamit”, karya ini diolah dengan susunan muzik kontemporari yang ceria namun menyentuh realiti pasangan muda masa kini – teruja untuk berkahwin tetapi berdepan cabaran kewangan.

“Lagu ini memang cerita hidup ramai orang sekarang. Kita nak kahwin, tapi belum cukup duit. Saya nak sampaikan mesej ini dengan cara yang ringan tetapi berisi,” kata Wani.

Wani juga menekankan pentingnya membawa semula elemen budaya dalam bentuk yang lebih relevan dengan zaman kini. Lirik lagu ini memberi dorongan kepada pasangan muda untuk terus berusaha mencapai impian bersama, tanpa terlalu terikat dengan kemewahan.

Dengan gaya muzik yang segar dan mesej yang dekat di hati, “Cak Cak Cekuk” dijangka mendapat tempat di kalangan peminat dan sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan serta acara berkaitan cinta.

Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, Deezer dan YouTube Music. Muzik video rasmi juga bakal dilancarkan tidak lama lagi.