Fazura Kembali Dengan “Kisah Terbaik” Angkat Tema Kekuatan dan Harapan

Fazura Kembali Dengan “Kisah Terbaik” Angkat Tema Kekuatan dan Harapan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Fazura kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi single terbaharunya berjudul “Kisah Terbaik”, sebuah balada emosi yang mengetengahkan tema penerimaan, kekuatan diri dan harapan untuk melangkah ke hadapan.

Menurut Fazura, lagu tersebut membawa mesej universal tentang menerima setiap pengalaman hidup sebagai proses membentuk diri, bukan sekadar berkisar tentang cinta.

Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat mereka yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” katanya.

“Kisah Terbaik” merupakan hasil kolaborasi bersama komposer dan penerbit Aiman Sidek serta Reza Ramsey. Proses pembikinannya berlangsung dalam suasana terbuka dan penuh kepercayaan, membolehkan setiap emosi diterjemahkan secara jujur ke dalam karya tersebut.

“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan mereka benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan. Lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” jelasnya.

Dari sudut muzik, lagu ini menampilkan susunan sinematik dengan perkembangan emosi yang memuncak, bermula dengan nuansa lembut sebelum berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan, sekali gus menghidupkan penceritaan dalam lirik.

Fazura menyifatkan karya ini antara yang paling matang dan dekat dengan dirinya, diinspirasikan daripada pengalaman jatuh bangun dalam kehidupan yang mengajarnya tentang kekuatan, keikhlasan serta penerimaan terhadap takdir.

“Saya percaya setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah. Lagu ini mengingatkan saya tentang kekuatan untuk terus melangkah,” ujarnya.

Beliau berharap “Kisah Terbaik” mampu menyentuh hati pendengar serta menjadi sumber ketenangan dan harapan, khususnya kepada mereka yang sedang melalui detik mencabar dalam kehidupan.

Dengan melodi yang menyentuh perasaan serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, lagu ini turut memperlihatkan perkembangan Fazura sebagai seorang penyanyi dan pengkarya yang semakin matang.

Single tersebut kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.