Hospital Likas Lakar Sejarah, Pisahkan Kembar Siam Pertama dengan Berjaya

Hospital Likas Lakar Sejarah, Pisahkan Kembar Siam Pertama dengan Berjaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan kembar siam jenis pygopagus pada Khamis lalu (2 Julai) di Dewan Bedah Utama hospital berkenaan.

Kembar siam tersebut, yang bercantum di bahagian tulang punggung (sacrum), saraf tunjang serta bahagian bawah saluran pencernaan dan organ reproduktif, merupakan bayi perempuan pramatang dari kawasan pedalaman Sabah yang lahir pada usia kandungan 32 minggu.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, salah seorang daripada pasangan kembar berkenaan turut mengalami komplikasi jantung dan kegagalan buah pinggang, menyebabkan pembedahan perlu dilakukan lebih awal iaitu pada usia 28 hari, berbanding prosedur biasa pada usia empat hingga enam bulan.

Pembedahan kompleks itu melibatkan kerjasama pelbagai disiplin termasuk pakar neonatologi, anestesiologi, pembedahan pediatrik, neurosurgeri, pembedahan plastik dan rekonstruktif, radiologi serta pasukan kejururawatan dan sokongan klinikal, termasuk pakar dari Semenanjung.

Kedua-dua bayi berjaya dipisahkan dan kini berada dalam keadaan stabil serta dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS untuk pemantauan lanjut.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti komitmen dan kepakaran berterusan warga HWKKS dalam mengendalikan kes anomali kongenital kompleks, sekali gus memperluas akses rawatan khusus di negeri ini serta mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik keluarga pesakit.