Belia Sabah Diseru Alih Fokus Daripada Protes Kepada Pembangunan

Belia Sabah Diseru Alih Fokus Daripada Protes Kepada Pembangunan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Belia Sabah diseru menyalurkan semangat perjuangan mereka ke arah usaha pembangunan yang lebih konstruktif, termasuk memperkukuh perpaduan, membina kapasiti dan meningkatkan daya saing negeri, berbanding sekadar mengadakan protes jalanan.

Seruan itu disampaikan oleh wakil NGO, Dr. Davina Markus, ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 di sini, Ahad lalu.

Beliau berkata, kemarahan terhadap rasuah dan kelemahan sistem adalah sesuatu yang difahami, namun perlu dipandu dengan bijaksana agar tidak dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

“Semangat patriotisme anak muda perlu dipelihara dan tidak dieksploitasi untuk agenda luar,” katanya.

Mengulas kritikan di media sosial, Dr. Davina menegaskan bahawa pendiriannya terhadap isu seperti autonomi imigresen Sabah adalah berteraskan kepentingan negeri, termasuk hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, kuasa imigresen serta tuntutan hak Sabah tidak harus disalah tafsir sebagai usaha melindungi mana-mana pihak daripada penelitian awam, sebaliknya bertujuan mempertahankan autonomi negeri.

Beliau turut menggariskan tiga keutamaan utama bagi belia iaitu memperkukuh perpaduan merentasi kaum dan agama, mengangkat prinsip meritokrasi dalam kepimpinan serta beralih daripada budaya membantah kepada budaya membina.

Dr. Davina juga menggalakkan golongan muda menguasai bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, kejuruteraan, kewangan dan pertanian moden sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi global.