KOTA KINABALU: Kejayaan merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada kekuatan, komitmen dan keupayaan seluruh penjawat awam untuk bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun, saling melengkapi serta berkongsi tanggungjawab terhadap matlamat yang sama.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, semangat itu menjadi teras Hala Tuju SMJ 2.0 kerana kejayaan sesebuah kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau pelan yang dirangka, sebaliknya sejauh mana dasar berkenaan berjaya mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata, budaya bekerja secara berasingan atau silo mentality perlu ditinggalkan dan digantikan dengan budaya kolaboratif yang menjadikan setiap kementerian, jabatan dan agensi sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara.
“Kerjasama strategik perlu diperkukuhkan antara kementerian dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan, di samping memperluaskan sinergi bersama sektor swasta, akademia serta komuniti bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak.
“Pada masa sama, komunikasi strategik perlu diperkasakan melalui pelaporan prestasi yang telus, penggunaan dashboard pemantauan serta perkongsian data yang berkesan bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dipantau, dinilai dan ditambah baik secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.
Beliau berkata, dunia hari ini amat berbeza berbanding sedekad lalu apabila kemajuan teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), berkembang begitu pesat dan mengubah landskap dunia, termasuk dalam pelaksanaan tugasan harian sektor awam.
“Justeru, SMJ 2.0 mengiktiraf pendigitalan dan AI sebagai pemboleh daya strategik yang akan memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti serta mentransformasikan cara kita merancang, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian SMJ 1.0 membuktikan bahawa apabila dasar yang jelas disokong oleh pelaksanaan yang berkesan, hasilnya mampu memberi manfaat yang nyata kepada negeri dan rakyat.
“Bagi SMJ 2.0, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan dinilai bukan dari segi mutu pelaporan tetapi sejauh mana ia memberi impak kepada kesejahteraan rakyat Negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Zainudin berkata, hasil pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 6 Julai lalu, beberapa perkara penting dipersetujui bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta pelaksanaan agenda pembangunan di Sabah.
Beliau berkata, antaranya ialah pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam pengurusan projek menerusi konsep Review, Keep and Boost bagi mempercepat proses pengurusan projek di Sabah.
Selain itu, katanya, cadangan pewujudan hampir 300 jawatan membabitkan 26 agensi di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut dipersetujui tanpa memerlukan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO), selain Mesyuarat Perhubungan Antara Negeri dan Persekutuan akan diadakan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membincangkan status pelaksanaan serta penyelesaian projek pembangunan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua Setiausaha Tetap Kementerian dan Ketua Jabatan supaya memberi penekanan kepada pelaksanaan RKB dengan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu prosedur kerja sedia ada yang boleh ditambah baik melalui pendekatan RKB.
Beliau berkata, setiap kementerian dan jabatan juga perlu mempunyai pelan strategik, pensijilan ISO, Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) dan Good Regulatory Practice (GRP), selain mengintegrasikan teknologi AI ke dalam proses kerja yang telah melalui fasa RKB bagi memaksimumkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Mengulas lanjut, Zainudin berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada kejayaan SMJ 1.0, sebaliknya merupakan transformasi yang lebih strategik berasaskan tiga teras utama, iaitu sektor utama pertumbuhan ekonomi merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
Katanya, tiga teras itu disokong oleh lima pemboleh daya dengan tiga tumpuan utama, iaitu ekonomi biru, pemanfaatan AI dan pembangunan inklusif bagi memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh Sabah.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi negeri merangka pelan strategik berteraskan Hala Tuju SMJ 2.0, menjajarkan strategi, inisiatif dan KPI masing-masing dengan pelan pembangunan itu, selain memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara pantas, berkesan dan berimpak.






