KINABATANGAN, SABAH – Seorang peniaga warga Pakistan ditemukan mati dengan kesan tembakan selepas dipercayai dirompak di Jalan Ladang KJS Sungai Melian, Tongod, kira-kira 160km dari sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata mangsa, Rozimand Sherin Khan, 33, sebelum itu masuk ke kawasan Kampung Sungai Imbak Tongod pada pukul 1.30 tengah hari dengan menunggang motosikal untuk mengutip hutang daripada pekerja ladang di kawasan tersebut.
Katanya, mayat mangsa kemudian ditemukan pada jam 4.30 petang di dalam semak di tepi jalan tersebut oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu. Pemandu berusia 28 tahun itu memaklumkan penemuan mayat lelaki itu kepada mandur ladang kelapa sawit terbabit yang kemudian melaporkan kepada Penolong Ketua Balai Polis Tongod, katanya kepada Bernama, hari ini.
Siasatan awal juga mendapati semasa kejadian berlaku, mangsa dalam perjalanan keluar bersendirian dari kawasan Ladang KJS dengan menunggang motosikal. Jarak perjalanan dari tempat mayat mangsa dijumpai ke kawasan perumahan pekerja Ladang KJS Sungai Milian lebih kurang 20 minit.
Menurut Supt A. Sahak, pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa mendapati ada kesan kecederaan disyaki kesan tembakan pada bahagian leher sebelah kiri dan belakang badan sebelah bahu kiri.
Terdapat juga kesan kecederaan di bahagian dahi sebelah kanan, kepala sebelah kanan dan kaki sebelah kanan. Beliau berkata polis tidak menjumpai motosikal yang ditunggang mangsa serta beg sandang dan telefon bimbit milik mangsa di tempat kejadian, dipercayai disamun sebelum dibunuh.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat, manakala kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
– Bernama