KOTA KINABALU, SABAH – Seorang kanak-kanak cemas susulan tangan kanannya tersekat dalam kotak pembesar suara (speaker) dalam satu kejadian di Taman Kinamaun Lorong Pelanduk, di sini, semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan media memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 3.41 petang
“Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Komander Operasi PBK II Idy Nirawan Ilyas tiba di lokasi berkenaan melaporkan berlaku insiden melibatkan tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan telah tersekat dalam kotak pembesar suara (speaker) .
“Pasukan bomba bertindak dan berjaya mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
“Seterusnya mangsa diberi rawatan awal oleh Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” jelas dalam kenyataan tersebut.
Operasi mengeluarkan tangan kanan kanak-kanak terbabit ditamatkan pada jam 4.00 petang.





