BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Beaufort merampas kira-kira 1,000 liter diesel yang dipercayai dipindahkan secara menyalahi undang-undang dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort, pada malam Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, anggota Task Force Perisikan Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sebuah kenderaan dan menyerahkan tiga individu kepada KPDN untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Jamiah Bakar, berkata tindakan sitaan semula dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDN selepas menerima serahan barang kes daripada pihak PGA.
Katanya, antara barang yang dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Isuzu Invader Double Cabin, kira-kira 1,000 liter diesel yang disimpan dalam tangki ubah suai, satu gelung hos, sebuah pam minyak elektrik serta beberapa dokumen berkaitan.
“Pihak KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,320, termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kes tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu, yang dijalankan KPDN bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya diesel.
Jamiah berkata, operasi itu penting bagi memastikan bekalan barang kawalan sampai kepada golongan sasar serta mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan bagi membantu usaha penguatkuasaan di lapangan.






