ConocoPhillips Labur RM1.3 Bilion Bangunkan Fasa 2 Medan Gas Kebabangan

ConocoPhillips Labur RM1.3 Bilion Bangunkan Fasa 2 Medan Gas Kebabangan

0
SHARE

KOTA KINABALU: ConocoPhillips Sabah Gas Ltd. mengumumkan pelaburan baharu bernilai kira-kira RM1.3 bilion bagi pembangunan Fasa 2 Medan Gas Kebabangan (KBB) di luar pesisir Sabah, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat terhadap pembangunan industri tenaga di negeri ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, syarikat itu memaklumkan keputusan pelaburan akhir (FID) bagi projek tersebut telah dibuat pada 21 Mei lalu dengan kerjasama rakan usaha sama iaitu ConocoPhillips Sabah Gas Ltd., PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. dan Shell Energy Asia Limited.

Pelaburan itu akan digunakan untuk menggerudi beberapa telaga baharu bagi meningkatkan pengeluaran gas, memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta memperkukuh jaminan bekalan tenaga Sabah.

Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn, berkata projek berkenaan membuktikan komitmen jangka panjang syarikat terhadap Malaysia dan Sabah.

Menurutnya, dalam tempoh lebih setahun sejak mengambil alih peranan sebagai pengendali medan gas tersebut, syarikat berjaya meningkatkan kebolehpercayaan operasi serta memperkukuh prestasi keselamatan hasil sokongan pasukan dan rakan kongsi.

Medan Gas Kebabangan yang mula beroperasi pada tahun 2013 terletak kira-kira 123 kilometer dari pantai Sabah dan merupakan pembekal utama gas asli cecair (LNG) serta gas domestik bagi negeri ini.

Pembangunan KBB melibatkan kerjasama antara ConocoPhillips sebagai pengendali dengan pegangan 30 peratus, PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (40 peratus) dan Shell Energy Asia Limited (30 peratus).

Dunn berkata pelaburan itu turut memberi manfaat kepada pembangunan vendor tempatan, khususnya di Sabah, selain membantu meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiga syarikat Malaysia termasuk dua syarikat dari Sabah menerima pengiktirafan dalam Anugerah Pengiktirafan Pembekal Global ConocoPhillips 2026, sekali gus mencerminkan keupayaan dan daya saing pembekal tempatan dalam menyokong operasi industri tenaga.

Pelaksanaan Fasa 2 Medan Gas Kebabangan dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran gas, memperkukuh keselamatan tenaga Sabah serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat dan vendor tempatan untuk terlibat dalam rantaian industri minyak dan gas negara.