SAMBAS: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Sultan Muhammad Syafiuddin Sambas (UNISSAS) memeterai perjanjian kerjasama penyelidikan yang dijangka membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan ilmu, penyelidikan dan pemeliharaan kearifan tempatan masyarakat Borneo.
Perjanjian itu dimeterai sempena International Conference on Local Wisdom and the Identity of the Malay Community in Borneo yang berlangsung di Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly mewakili UMS dan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS menandatangani perjanjian tersebut bersama Rektor UNISSAS, Dr. H. Arnadi, M.Pd.
Kerjasama berkenaan merangkumi penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti akademik, pembangunan bakat, pertukaran kepakaran, penganjuran program akademik serta pengembangan ilmu berkaitan masyarakat, budaya dan peradaban Borneo.
Majlis pemeteraian disaksikan Dekan FIS UMS, Profesor Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Wakil Rektor UNISSAS, Prof. Dr. Sumar’in; Direktur Pascasarjana UNISSAS, Prof. Madya Dr. Purniadi; serta Anggota DPRD Provinsi Kalimantan Barat, Tuan Haji Subhan Nur.
Pada persidangan itu, Rosalam menyampaikan ucaptama bertajuk “Local Wisdom and Malay Identity in Borneo: Lessons for Sustainable Development and Future Innovation”.
Beliau berkata kearifan tempatan masyarakat Borneo bukan sekadar warisan budaya yang perlu dipelihara, malah merupakan sumber ilmu, inovasi dan penyelesaian yang masih relevan dalam mendepani cabaran pembangunan lestari masa kini.
“Universiti berperanan penting dalam memastikan pengetahuan tradisional terus didokumentasikan, dikaji dan diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pembentangannya, Rosalam turut berkongsi pengalaman UMS menerusi pendekatan Living Lab, Borneo Festival of Ideas (BFOI), Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB) dan konsep Tropical Living University yang menghubungkan universiti dengan komuniti dalam menghasilkan penyelidikan serta inovasi berimpak tinggi.
”Kerjasama rentas sempadan antara institusi pengajian tinggi amat penting dalam memperluas jaringan akademik, meningkatkan penerbitan ilmiah dan menggalakkan perkongsian kepakaran yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat serantau.
“Perjanjian yang dimeterai ini akan menjadi landasan kepada pelaksanaan pelbagai program akademik dan penyelidikan yang berteraskan identiti serta budaya Borneo, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat di kedua-dua negara,” tambahnya.
Sementara itu, seramai sembilan ahli akademik daripada FIS UMS membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam bidang pengajian Islam, identiti Melayu Borneo, pembangunan masyarakat, pendidikan dan isu semasa.






