KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan lebih 20,000 petak parkir tersedia di pusat bandar dan kawasan sekitarnya, namun orang ramai masih digesa menggunakan kemudahan yang disediakan serta mengelakkan parkir secara tidak sah.
DBKK berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 4,005 petak parkir awam selain kemudahan parkir bertingkat seperti di KK Plaza, Menara Jubili dan KK Sentral, manakala lebih 19,000 petak lagi disediakan oleh bangunan komersial dan premis persendirian.
Namun, masih terdapat pemandu yang meletakkan kenderaan di bahu jalan, persimpangan, laluan keluar masuk dan kawasan pejalan kaki, sehingga menyebabkan kesesakan, risiko keselamatan serta gangguan kepada perniagaan.
Menurut DBKK, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan amaran sebelum kompaun dikeluarkan, manakala penundaan kenderaan dilakukan sebagai langkah terakhir bagi kes serius atau berulang.
Orang ramai turut diingatkan bahawa berjalan kaki dalam jarak munasabah adalah amalan biasa di bandar besar, selain membantu mengurangkan kesesakan dan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur.






