KOTA KINABALU: Polis menahan 18 lelaki susulan dua kejadian pergaduhan yang saling berkaitan di Kampung Air awal pagi Khamis, termasuk satu insiden melibatkan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang ditikam pada bahagian betis menggunakan objek tajam disyaki duri ikan pari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4 pagi di sebuah premis makanan selepas perselisihan faham bertukar menjadi pergaduhan, dengan mangsa cedera ketika cuba meleraikan insiden tersebut.
Mangsa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II dan dilaporkan stabil.
Kira-kira sejam kemudian, satu lagi pergaduhan melibatkan individu dipercayai berkaitan berlaku di lokasi sama, menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada hidung.
“Polis memandang serius sebarang perbuatan keganasan yang mengancam keselamatan awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes, termasuk hulu senjata dan sarung yang disyaki digunakan untuk menyimpan senjata tajam. Semua suspek didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.






