KUALA LUMPUR – Pasukan petugas khas bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar patologi di Hospital Lahad Datu di Sabah digesa turut meneliti satu lagi kes dakwaan buli di negeri itu.
Memetik sumber Berita Harian, Presiden Persatuan Perubatan (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata ia berikutan kes terbabit yang dilaporkan sejak tahun lalu dikatakan belum diselesaikan hingga kini.
Katanya, MMA teguh menentang sebarang bentuk gejala buli, selain menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan persekitaran kerja selamat dan positif.
“MMA sudah mengetengahkan perkara ini kepada KKM sejak tahun lalu selepas menerima aduan daripada sekumpulan doktor di sana.
“Kami juga mengulangi kesediaan membantu pasukan petugas khas dalam menyiasat perkara terbabit dalam apa-apa bentuk diperlukan.
“MMA juga secara konsisten menekankan kepentingan mengutamakan kesihatan mental dan kesejahteraan doktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bebas berkuat kuasa Khamis depan, bagi menyiasat kematian pakar patologi di Hospital Lahad Datu.
Dzulkefly berkata, langkah itu selari pendirian tegas KKM yang tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja.
Mengenai pasukan petugas khas itu, Dr Kalwinder berharap siasatan dibuat mulai Khamis depan akan dijalankan secara teliti, telus dan produktif.
“Kita harap siasatan berkenaan akan menghasilkan cadangan bermakna untuk memperbaiki budaya kerja petugas kesihatan dalam sektor awam,” katanya.
Sementara itu, Dr Kalwinder menggesa pasukan petugas khas berkenaan meneliti semula syor Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) pada 2022.
Katanya, ia perlu mengambil kira banyak sumber, tenaga dan sebagainya yang dilaburkan bagi mengumpul pandangan serta maklum balas kakitangan penjagaan kesihatan awam, biarpun syor itu disusun kebanyakan panel berbeza.
“Ketelusan mengenai cadangan jika ada, diterima pakai KKM akan membantu menjelaskan hala tuju pembaharuan berterusan dan meyakinkan kakitangan penjagaan kesihatan mengenai komitmen kerajaan untuk menangani isu dan cabaran budaya kerja.
“MMA menggesa pasukan petugas yang baru ditubuhkan juga diberi kuasa untuk menyemak penemuan dan cadangan HWCITF,” katanya.