Tiada Perbincangan Dalam GRS Mengenai Pertemuan Politik Seperti Ditularkan – Armizan

Tiada Perbincangan Dalam GRS Mengenai Pertemuan Politik Seperti Ditularkan – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU:Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup malah mengesahkan tiada perbincangan dalam kepimpinan GRS mengenai sebarang jemputan atau perancangan untuk mengadakan pertemuan sedemikian.

Armizan berkata, tumpuan GRS ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan negara dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan, bukannya melayan spekulasi politik.

“Tiada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian.

Tempoh Kerajaan Persekutuan masih berbaki lebih kurang setahun setengah. Adalah wajar segala fokus ditumpukan untuk meneruskan agenda pembangunan negara dan ikhtiar meningkatkan kesejahteraan rakyat, apatah lagi negara juga sedang berdepan impak konflik geopolitik global,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengenai kononnya satu pertemuan melibatkan beberapa parti politik akan diadakan, termasuk dakwaan bahawa sidang media dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang kelmarin.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila tiada sidang media berlangsung seperti yang ditularkan.

Sementara itu, memetik laporan FMT, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof turut menafikan dakwaan berhubung pertemuan tersebut.