KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan beberapa langkah pencegahan yang ketat untuk menangani peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 di negeri ini.
Ini selepas negeri Sabah mencatatkan peningkatan kepada tiga (3) angka bermula 01 Okt (138 Kes), 02 Okt (133 Kes), 3 Okt (155 Kes) dan 04 Okt (126 Kes) di mana seramai 1,206 orang pesakit COVID-19 berada di dalam wad ketika ini.
Menurut satu kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor hari ini, antara langkah-langkah baru itu ialah;
- Hanya membenarkan operasi premis perniagaan untuk perkhidmatan dan barangan perlu (essential services and essential goods):
- Menutup pasaraya kecuali premis perniagaan yang membekalkan perkhidmatan dan barangan perlu (essential services and essential goods);
- Tidak membenarkan ‘dine-in’ di restoran, kedai makan dan gerai makan;
- Menutup Tamu, Pasar Malam dan Pasar Tani;
- Menutup Rumah-rumah Ibadat (Masjid, Surau, Gereja, Tokong dan lain-lain) kepada orang awam;
- Menutup Taman Awam, Pusat Rekreasi, Indoor dan Outdoor Playground;
- Menutup Perpustakaan Awam;
- Menutup sekolah-sekolah termasuk taska, pusat japan, tadika dan tabika;
- Mengurangkan 50 peratus kapasiti sebenar penumpang bagi perkhidmatan bas henti-henti;
- Menghadkan kapasiti kenderaan persendirian kepada dua orang;
- Menjadikan Stesen Kuarantin yang telah diwartakan sebagai Pusat Wad Tambahan / Rawatan Pesakit (Hospital Extension).
Walau bagaimanapun, langkah-langkah baru itu tertakluk kepada persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kerajaan negeri berharap supaya perkara-perkara di atas dipersetujui dan diluluskan oleh MKN, dan pelaksanaan berkuatkuasa serta merta sehingga 16 Oktober 2020,” kata Hajiji menerusi kenyataan tersebut.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 telah memutuskan pelaksanaan Kawalan Pergerakan Rentas Daerah mulai 03 Oktober 2020 hingga 16 Oktober 2020 dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Pergerakan Rentas Daerah di Seluruh Negeri Sabah.