PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti politik lain di Sabah selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Memetik laporan Bernama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu belum memuktamadkan pembentukan ‘Gabungan Mega’.
Namun begitu, pihaknya sedang meneroka beberapa kemungkinan termasuk kerjasama ‘BN-Pakatan Harapan (PH) Plus Plus’ dan tidak terhad kepada satu atau dua gabungan sahaja.
“Kita merasakan bahawa mana-mana parti politik atau gabungan parti dari peringkat pusat perlu bekerjasama dengan parti politik atau gabungan parti di Sabah.
“Ini penting kerana kita tahu bahawa gabungan antara organisasi politik pusat dan organisasi politik negeri perlu ditangani dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan berbincang dengan wakil GRS semasa lawatannya ke Sabah hujung minggu ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW berkata, beliau telah mengadakan banyak perbincangan dengan wakil GRS.
“Insya-Allah, bukan sahaja dengan GRS, malah kita juga terbuka untuk berbincang dan berunding dengan parti-parti politik lain di Sabah,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa jadual beliau padat, terutamanya dengan program-program anjuran KKDW, namun beliau tidak mengetepikan urusan politik menjelang PRN Sabah.
Ketika ditanya jangkaan bila rundingan politik akan dimuktamadkan, beliau berkata tidak dapat memberikan tempoh khusus, namun keutamaan diberikan kepada kestabilan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan demi kebaikan rakyat Sabah.
“Jadi, jika perkara ini dianggap baik oleh pimpinan mana-mana organisasi politik, ia seharusnya diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya.






