PUTATAN: Putatan kini menyasarkan aspirasi untuk menjadikan kawasan Mobile Food Kiosk Peladang Putatan di daerah ini sebagai ‘Gaya Street kedua’.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit, ianya selaras dengan usaha memupuk pembangunan sosioekonomi serta keusahawanan belia setempat.
Aspirasi itu dizahirkan sempena Program Hari Belia Negara yang berlangsung malam Khamis (15 Mei) di kawasan PPK Putatan.
Program anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan termasuk sukan elektronik, bola sepak, permotoran dan pertandingan dart yang beliau kata semakin digemari golongan muda di kampung-kampung sekitar Putatan.
Isquzawan yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Putatan berkata program itu bukan sahaja bertujuan meraikan belia, tetapi juga sebagai langkah strategik menjadikan kawasan berkenaan sebagai tarikan ekonomi baharu.
“Kita mahu menjadikan kawasan ini sebagai Gaya Street kedua bagi memberi pilihan alternatif kepada masyarakat sekitar Putatan, Papar dan daerah berhampiran.
“Kawasan ini lebih luas, dengan tempat letak kereta yang mencukupi, dan suasananya sesuai untuk peniaga serta pengunjung,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di atas peruntukan RM150,000 untuk menyediakan pondok niaga bagi para usahawan.
“Kita mula dengan kiosk mudah alih dan kini sedang menuju ke arah pembangunan gerai tetap, kemudahan awam, serta persembahan hiburan.
“Malah kita dalam perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjadikan kawasan ini sebagai pusat promosi makanan dan kebudayaan tempatan,” katanya lagi.
Program itu juga menekankan pembangunan keusahawanan dan sosial belia, khususnya mereka di bawah 40 tahun.
“Dengan adanya geran sehingga RM30,000 kepada belia yang terlibat dalam bidang pertanian dan makanan, kita mahu mereka membina kerjaya sendiri.
“Pada masa sama, kita juga kenal pasti bakat dalam pelbagai bidang sukan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Menurut beliau, daripada lebih 1,000 ahli peladang di Putatan, kira-kira 50 peratus adalah belia di bawah umur 40 tahun.
Kerajaan Negeri Sabah juga telah menetapkan bahawa golongan muda ini diberikan keutamaan menjadi wakil di peringkat organisasi, menggantikan mereka yang berusia lebih 70 tahun.
“Kita mahu belia diberi ruang dan peluang untuk memimpin dan berbakti kepada komuniti. Ini masa mereka,” tegasnya.






