Cadangan Lantik Ahli Korporat ke GLC Sabah Disokong Ketua UMNO Putatan

Cadangan Lantik Ahli Korporat ke GLC Sabah Disokong Ketua UMNO Putatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Cadangan melantik ahli korporat ke dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Sabah bagi memperkukuh tadbir urus dan prestasi kewangan menerima sokongan daripada Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed.

Beliau berkata, GLC milik kerajaan negeri berperanan penting sebagai antara penyumbang utama pendapatan kepada kerajaan, justeru pelantikan ahli lembaga pengarah perlu dibuat secara teliti dan berasaskan keupayaan serta merit individu.

Menurutnya, perubahan struktur dan sistem pelantikan lembaga pengarah GLC amat diperlukan bagi memastikan syarikat berkenaan diurus secara profesional serta mampu menjana pulangan yang progresif.

“Budaya korporat perlu diterapkan segera dalam GLC. Amalan dan pemikiran lama harus diubah kerana GLC tidak seharusnya menjadi pelengkap kepada kepentingan politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Jeffery berkata, GLC juga perlu lebih kreatif dengan meneroka peluang baharu termasuk pembangunan sumber manusia, pengukuhan teras perniagaan serta menjalin kerjasama strategik dengan rakan dalam dan luar negeri.

Katanya, pendekatan pemikiran global dan keupayaan menjana sumber kewangan tambahan tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan negeri perlu menjadi antara keutamaan setiap GLC.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik ketetapan Ketua Menteri Sabah yang menghendaki syarikat GLC mengemukakan laporan prestasi setiap tiga bulan bagi meningkatkan tahap pemantauan dan akauntabiliti.

Menurutnya, mana-mana GLC yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan wajar dikaji untuk disatukan dengan GLC lain di bawah kementerian sama bagi mengurangkan liabiliti serta kos operasi, sekali gus memastikan GLC berperanan sebagai pemangkin utama pendapatan kerajaan negeri demi manfaat rakyat Sabah.