
KOTA KINABALU, SABAH – Perolehan Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II meningkatkan keberkesanan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia di perairan pesisir pantai.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata FIC G2000 Mk II dilengkapi Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) secara automatik.
“FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini mempunyai enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot selain susun atur dalaman telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi.
“Berdasarkan kepada Konsep Operasi (CONOP) yang telah dibangunkan, FIC berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim kepada TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan terutamanya di perairan yang cetek dan berpulau,” katanya semasa Majlis Penyerahan empat buah FIC G2000 Mk II di Pangkalan TLDM, pagi Jumaat.
Pada majlis tersebut, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan dan menyaksikan penyerahan empat buah FIC G2000 Mk II oleh Pengarah Gading Marine Industry Sdn. Bhd. (GMISB), Datuk Ir. Jamalolail Mohd Yatim kepada TLDM.
Di samping itu, Abdul Rahman turut memaklumkam FIC tersebut juga akan digunakan bagi menyokong operasi menangani ancaman bukan tradisonal dan asimetrik dengan lebih efektif.
“Ancaman bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, rompakan di laut dan aktiviti pelanunan sentiasa membayangi keselamatan perairan negara.
“FIC ini direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan, dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak pantas dalam mencegah aktiviti sebegini berlaku di dalam perairan negara,” ujarnya.
Beliau juga memberi jaminan TLDM akan sentiasa bekerjasama dengan agensi lain dalam memelihara keutuhan dan melindungi kedaulatan negara.
“Seperti yang dinyatakan dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 dan Kertas Putih Pertahanan, pendekatan Whole-of-Government atau Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) menekankan keperluan untuk setiap agensi kerajaan berkerjasama antara satu sama lain bagi membentuk kekuatan yang menyeluruh serta bersepadu,” jelas beliau. — JABATAN PENERANGAN SABAH