PAPAR, SABAH – Sebanyak 11 jenis barangan terkawal disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 (SHMTBC 2024).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, barangan tersebut adalah udang putih, ikan bawal putih, kobis bulat (import), ubi kentang (import), bawang putih, halia tua (import), lobak putih (import), lobak merah, babi hidup dan daging babi termasuk perut, daging serta lemak.
“SHMTBC 2024 ini berkuatkuasa Selasa depan sehingga 14 Februari,” katanya pada sidang media Pengumuman Harga SHMTBC 2024 di SJK (C) Cheng Hwa, pada Jumaat.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu selama empat hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan.
“Daripada 11 barangan yang diwartakan ini, para peniaga perlu meletakkan tanda harga yang berwarna merah jambu bagi memastikan rakyat mengetahui barang-barang tersebut telah ditetapkan harga maksimum.
“SHMTBC 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat pada peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi.
“Melalui perbincangan kita dengan KPKM, kita juga mendapat maklum balas bahawa bekalan barang keperluan rakyat yang mendapat permintaan tinggi sepanjang tempoh perayaan ini adalah mencukupi termasuk bekalan minyak dan gula,” katanya.
Jelas Armizan, peniaga dan orang ramai boleh menyemak harga bagi barang-barang yang terlibat di bawah (SHMTBC 2024) melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my.
Seramai 2,200 penguatkuasa KPDN di seluruh negara dikerahkan untuk membuat pemantauan dan terdapat 900 lagi pegawai pemantau harga turut melakukan pemeriksaan harga sempena pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan tersebut.
Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran WhatsApp iaitu 019-848 8000;Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; talian Call Centre 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Roziah Abudin dan Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam. — JABATAN PENERANGAN SABAH