Lima Anugerah Sempena Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Tahun 1446 H

Lima Anugerah Sempena Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Tahun 1446 H

0
SHARE
Arifin
Arifin (kiri) dan Jumain (kanan) di konti Sabah FM ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak lima anugerah akan disampaikan sempena Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Tahun 1446 H di Dewan Masyarakat Papar, Ahad ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Arif berkata selain penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1446H yang akan disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, beberapa anugerah lain akan turut diberikan pada Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah.

“Antaranya anugerah berhubung pembangunan ekonomi iaitu Anugerah Abdul Rahman Auf dan Anugerah Khalid Ibnu al-Walid untuk belia cemerlang.

“Dua anugerah lain yang akan turut disampaikan ialah hadiah pemenang pertandingan Surau Tercantik Kompleks Beli-Belah/Institusi dan Taman Perkuburan Ar-Raudah,” katanya ketika ditemui media selepas ditemubual di Konti Sabah FM, pada Khamis.

Ariffin turut memberitahu Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni akan mengadakan lawatan Ziarah Hospital (Wad Bersalin) untuk meraikan Kelahiran Bayi Hijrah di Hospital Papar pada 7 Julai (Ahad).

“Manakala, Anugerah Saiyidatina Khadijah dan Anugerah Fatimah Az-Zahrah Program Anjung Mutiara yang dikelolakan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi-agensi Islam akan dianjurkan pada 2 Ogos 2024 bertempat di Dewan Sa’adah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

“Kita juga akan melaksanakan seminar kekeluargaan yang ada kaitan dengan kebahagiaan rumah tangga dan ini sangat penting sebagai asas masyarakat atau Malaysia Madani.

“Intinya, sepanjang bulan Muharam ini akan dipenuhi dengan pelbagai program pengisisan sempena Ma’al Hijrah,” jelasnya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Negeri Islam Sabah (JHEAINS), Jumain Abdul Ghani. — JABATAN PENERANGAN SABAH