17 Rakyat Malaysia Hilang Selepas Banjir Besar Melanda Nepal

17 Rakyat Malaysia Hilang Selepas Banjir Besar Melanda Nepal

0
SHARE

MOSCOW: Seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan hilang selepas banjir besar melanda Nepal, antara 291 warga asing yang masih belum dapat dikesan susulan bencana itu, menurut Lembaga Pelancongan Nepal.

Lapor Sputnik/RIA Novosti, Lembaga Pelancongan Nepal dalam kenyataan menerusi platform X pada Rabu berkata, berdasarkan rekod awal yang dikumpulkan daripada syarikat dan agensi pelancongan, keseluruhan 384 pelancong dilaporkan hilang dari kawasan terjejas.

Daripada jumlah itu, 291 adalah warga asing manakala 93 lagi warga Nepal.

Maklumat itu sedang disahkan dan disemak silang dengan kerjasama agensi pelancongan, pemandu pelancong, pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan,” menurut kenyataan berkenaan.

Selain 17 rakyat Malaysia, lebih 100 warga India turut dilaporkan hilang, diikuti 12 warga Britain, empat warga Afrika Selatan, tiga warga Amerika Syarikat (AS), seorang warga Australia dan seorang warga Belanda.

Kewarganegaraan 111 lagi pelancong yang dilaporkan hilang masih belum dapat dikenal pasti atau disahkan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, Kathmandu Post melaporkan banjir besar berlaku susulan limpahan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, kawasan pergunungan Nepal, sehingga mengakibatkan kerosakan besar terhadap kediaman serta kemudahan infrastruktur.

Susulan keadaan itu, pihak berkuasa Nepal turut mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap tinggi kepada penduduk di kawasan hilir berikutan kebimbangan terhadap risiko banjir dan keadaan sungai.

Usaha mengesan mangsa yang hilang serta mengesahkan identiti dan kewarganegaraan mereka masih diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa, agensi keselamatan dan pemain industri pelancongan Nepal.