Pembikinan Jalan Leng-Leng Yang Runtuh Dimulai Hari Ini

Pembikinan Jalan Leng-Leng Yang Runtuh Dimulai Hari Ini

0
SHARE

RANAU, SABAH – Hujan yang berterusan telah mengakibatkan Jalan Leng-Leng yang menghubungkan ratusan penduduk di Mukim Suminimpod dengan dunia luar telah runtuh sejak dua hari lalu.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir telah membuat tinjauan bersama Ketua Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman, pihak Perunding dan pihak kontraktor ke lokasi tersebut pada hari Sabtu.

Abidin berkata pihak kontraktor akan memulakan kerja-kerja pembinaan bermula hari ini (Sabtu) dengan membina laluan pejalan kaki selama sehari dan mengambil masa tiga hari untuk membuat laluan sementara untuk kenderaan.

Beliau menambah bahawa pembinaan jalanraya yang kekal akan mengambil masa lebih-kurang 18 bulan untuk disiapkan…

“Saya berterima kasih kepada JKR kerana telah melantik kontraktor untuk membina secara reka dan bina jalan yang terputus ini.

Walaubagaimanapun sepatutnya perlantikan kontraktor ini sudah dibuat dahulu lagi kerana masalah ini bukan masalah yang baru.

“Kita sudah lama mendapat pelbagai rungutan daripada penduduk-penduduk terutama sekali daripada Mukim Sumpinimpod.

“Saya berharap, dengan adanya perlantikan kontraktor bagi menyelesaikan perkara ini, kerja-kerja pembinaan jalanraya di sini boleh disiapkan seberapa cepat yang mungkin,” kata beliau.

Memandangkan keadaan tanah di sini agak longgar, Abidin berkata pihaknya berharap agar pihak konsultan dan kontraktor dapat mengambil tindakan yang tertentu sebab tidak mahu apabila siap dibina, tidak lama selepas itu ada masalah lagi.

“Kerana sebelum ini apabila jalan runtuh, pihak JKR telah membersihkannya. Tetapi apabila hujan ianya runtuh lagi. Jadi kita berharap apabila mereka bina jalan ini secara reka dan bentuk, saya berharap ianya boleh dibina atau dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Saya juga ingin cadangkan dalam pembinaan jalan ini, mereka yang terlibat menggunakan benteng supaya pihak kontraktor membuat jalan sementara yang boleh digunakan oleh penduduk untuk berhubung dengan dunia luar.

“Ini adalah satu-satunya jalan ke Pekan Ranau dari kampung-kampung di Mukim Suminimpod yang digunakan oleh penduduk di sini. Sememangnya ada jalan lain yang melalui Kg Kinarasan tetapi jalan tersebut sangat jauh,” jelas beliau.

Semasa pembaikan jalanraya ini dijalankan, Abidin meminta kepada penduduk kampung agar banyak bersabar dan tidak mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak begitu baik dalam kumpulan-kumpulan media sosial, kerana perkara seumpama itu tidak menyelesaikan masalah.

“Kita harap semua pihak bersabar sehinggalah jalan ini boleh disiapkan sepenuhnya kerana jalan sementara yang boleh dilalui oleh kenderaan-kenderaan ringan akan dibuat dalam tempoh masa tiga hari lagi.

“Kita bersyukur kerana mesin yang akan menjalankan kerja-kerja di sini sudah dalam perjalanan ke sini dan akan memulakan kerja pada penghujung hari ini juga.

“Saya juga menyeru kepada pemimpin-pemimpin peringkat kampung di Mukim Suminimpod agar dapat menghantar pesan kepada penduduk untuk bersabar kerana kerajaan memang prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

Menurut Abidin, kerajaan sangat prihatin untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat dan beliau sendiri telah berusaha sedaya upaya untuk menghubungi semua pihak yang sepatutnya dihubungi bagi menyelesaikan masalah ini.

Tambah beliau lagi, pihak perunding menjangkakan bahawa jalan sementara yang akan dibina ini akan siap dalam tempoh tiga hingga lima hari, tetapi beliau menggesa agar ia boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari memandangkan terdapat dua buah sekolah di Mukim ini.

“Ini belum mengambil kira masyarakat lain di sini yang mempunyai pelbagai macam urusan yang perlu mereka selesaikan di Pekan Ranau atau di daerah lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuara Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Gana-Gana di Mukim Sumpinimpod, Witrinia Kimin berkata laluan tersebut telah terputus sejak dua hari yang lalu ekoran hujan lebat yang turun setiap hari dalam tempoh beberapa minggu sebelum ini.

“Ekoran terputusnya jalanraya ini, kita telah menerima bertubi-tubi aduan daripada penduduk setempat tentang masa yang dihadapi oleh mereka mengenai kejadian ini…

“Ramai kanak-kanak yang tidak dapat ke sekolah, dan ramai yang terpaksa membatalkan janji mereka di sini-sana. Ada juga mereka yang sedang membuat pembinaan rumah dan bangunan terpaksa memberhentikan kerja-kerja pembinaan kerana terputus bekalan bahan binaan,” katanya.

Ketua Kampung Gana-Gana, Roslin Sion menambah bahawa ramai masyarakat petani di kampung ini juga menghadapi masalah kerana banyak hasil-hasil kebun mereka yang tidak dapat dijual ke tamu-tamu dan Pekan Ranau.