BERSATU Sabah Desak Muhyiddin Letak Jawatan Presiden, Pengerusi PN

BERSATU Sabah Desak Muhyiddin Letak Jawatan Presiden, Pengerusi PN

0
SHARE

KOTA KINABALU:  BERSATU Sabah hari ini secara terbuka mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) susulan kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRUDU) Sabah Ke-17.

Desakan itu dikemukakan oleh Setiausaha BERSATU Sabah, Yunus Nurdin, yang tampil bersama barisan ketua bahagian, calon-calon PN daripada BERSATU serta kepimpinan sayap parti dalam satu sidang media khas.

Yunus menyifatkan keputusan PRUDU Sabah Ke-17 sebagai “keputusan memalukan” yang memberi tamparan hebat kepada jentera, calon serta akar umbi parti.

Menurutnya, kegagalan PN di Sabah berpunca daripada kelemahan sokongan kepimpinan pusat, termasuk ketiadaan bantuan dana pilihan raya, kekurangan bahan kempen serta ketiadaan latihan jentera yang memadai.

“Keputusan ini tidak membanggakan, malah menjadi mimpi ngeri kepada akar umbi, pemimpin bahagian dan calon. Kami mahu menebus maruah kekalahan kami,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Yunus turut menegaskan bahawa kepimpinan parti pusat gagal menangani pergolakan dalaman BERSATU sebelum pilihan raya, termasuk isu pemecatan, penggantungan ahli serta pendedahan konflik dalaman yang menurutnya “membogelkan aib parti” sehingga menjejaskan keyakinan pengundi terhadap calon PN.

Beliau berkata keputusan PRUDU Sabah merupakan mesej jelas bahawa parti memerlukan pembaharuan menyeluruh.

“BERSATU Sabah berpendirian tegas bahawa parti memerlukan reset yang besar. Gerakan pembaharuan mesti bermula dari pimpinan tertinggi. Parti memerlukan wajah baharu dan kepimpinan yang lebih responsif serta memahami keperluan politik di Sabah,” ujarnya.

Dalam nada lebih tegas, Yunus mengumumkan bahawa BERSATU Sabah sebulat suara menyeru Muhyiddin melepaskan jawatan untuk memberi ruang kepada kepimpinan baharu yang mampu memulihkan parti.

“Kami menyeru agar Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Presiden BERSATU dan Pengerusi PN. Ini bukan soal personal. Ini soal masa depan parti. Kami sayangkan parti ini,” katanya.

Yunus turut memaklumkan bahawa kepimpinan BERSATU Sabah bersedia menanggung sebarang tindakan disiplin daripada pusat susulan kenyataan terbuka tersebut.

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya tindakan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin Sabah yang terlibat, semua ketua bahagian dan kepimpinan negeri yang hadir akan melepaskan jawatan serta “menutup BERSATU di Sabah”.

BERSATU Sabah berharap kekalahan PRUDU Sabah dijadikan pengajaran dan permulaan kepada pembinaan semula parti di semua peringkat menjelang pilihan raya negeri lain akan datang.