Lori Balak Terbabas, Pemandu Maut Tersepit di Tawau

Lori Balak Terbabas, Pemandu Maut Tersepit di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas lori treler membawa muatan kayu balak yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu jalan berhampiran kawasan sebelum Maliau Basin, di sini pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian yang berada kira-kira 133 kilometer dari balai.

Turut membantu operasi ialah empat anggota daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, selain kehadiran pasukan perubatan KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati seorang mangsa lelaki dalam lingkungan usia 40-an tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK I Suheizan Sahak itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.19 tengah hari setelah keadaan lokasi kemalangan disahkan selamat.