LIBARAN: Calon BN bagi N52 Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa Barisan Nasional Sabah merupakan saluran yang mampu membawa suara negeri ke peringkat Persekutuan, sambil menyindir pihak lawan yang menurutnya hanya melaungkan tuntutan tanpa saluran kuasa.
Beliau berkata pengalaman panjang BN dalam kerajaan pusat sepatutnya menjadi kelebihan untuk memastikan dasar nasional memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah.
Menurutnya, politik tidak digerakkan oleh slogan atau sentimen, tetapi melalui hubungan institusi dan keupayaan mempengaruhi keputusan dasar di Putrajaya.
Suhaimi menambah bahawa parti lokal boleh membuat tuntutan, namun hanya pihak yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Persekutuan mampu memastikan pelaksanaannya.
Suhaimi turut menolak sentimen anti-Semenanjung yang dimainkan sesetengah pihak, sambil menyatakan kekuatan Sabah datang daripada kedudukan yang dihormati dan kemampuan berunding, bukan bermusuhan.
“Sabah tidak perlu menjerit untuk dihormati. Sabah perlu menunjukkan hasil supaya suaranya dipandang serius,” katanya.
Beliau berkata BN Sabah komited memperjuangkan kepentingan negeri melalui pengalaman dan rangkaian institusi di peringkat pusat, yang menurutnya kekal penting dalam memastikan agenda Sabah benar-benar dilaksanakan.






