Penampang Bakal Jadi Pusat Agroindustri Dan Pelancongan Baharu

Penampang Bakal Jadi Pusat Agroindustri Dan Pelancongan Baharu

0
SHARE
Stephen
Stephen bergambar bersama ahli jawatankuasa selepas mempengerusikan mesyuarat itu

PENAMPANG, SABAH – Penampang akan menjadi pusat agroindustri dan pelancongan yang baharu apabila inisiatif Taman Agroindustri dan Pelancongan Moyog (MANTAP) dilaksanakan.

Pengerusi Kumpulan Pelaksana MANTAP, Datuk Stephen Sampil berkata, ia sekaligus akan menarik lebih ramai pelancong dan pelawat melawat Penampang terutama pada kawasan Moyog, Timpangoh, Terian dan Buayan.

“Sudah tiba masanya untuk Penampang terutama kawasan Penampang Atas untuk mengambil peluang kedatangan jutaan pelancong ke Sabah. Ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan taraf hidup penduduk kampung.

“Pada masa ini walaupun Penampang atas amat dekat dengan Bandaraya namun hanya segelintir pelancong melawat ke kawasan ini disebabkan ketiadaan kemudahan penginapan dan fasiliti yang berkaitan.

“Sehubungan ini, MANTAP bertujuan untuk menangani isu penginapan dan kemudahan supaya potensi kawasan ini dapat dimanfaatkan untuk semua pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan MANTAP, di sini, kelmarin.

Stephen yang juga Timbalan Presiden Momogun National Congress (MNC) dan Naib Presiden Dewan Perniagaan Kadazandusun (KCCI) berkata, penubuhan MANTAP adalah selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Penampang yang diilhamkan oleh Ahli Parliamen Penampang Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, komponen utama MANTAP adalah untuk mengujudkan sebanyak 750 bilik penginapan termasuk kemudahan berkaitan atau sebanyak 20 bilik penginapan untuk setiap kampung.

“Tempoh pelaksanaan selama 5 hingga 10 tahun (2025 – 2035). Dengan adanya kemudahan penginapan akan dapat menarik pelancong dan pelawat ke kawasan Penampang terutama kawasan atas Penampang,” katanya.

Beliau berkata, untuk menggembleng ekosistem MANTAP, komponen sokongan yang lain akan diteliti dan dibangunkan.

“Jawatankuasa pelaksana telah melantik ketua kumpulan untuk menyediakan pelan terperinci untuk komponen lain iaitu dasar dan bantuan Kerajaan, aktiviti sokongan, produk hiliran,
keluaran pertanian, perikanan dan perhutanan, infrastruktur, kommuniti tagal, makanan dan minuman, sukan dan rekreasi, perhubungan internet, pemasaran dan promosi dan pusat maklumat dan konsultasi.

“Apabila dilaksanakan sepenuhnya, MANTAP mampu menjana potensi pendapatan sebanyak RM100 juta, sebanyak 2,000 pekerjaan serta 500 usahawan baru untuk ekonomi setempat Penampang,” katanya.