DUN KEKAL JIKA PARLIMEN DIBUBARKAN TAHUN INI – KM HAJIJI

DUN KEKAL JIKA PARLIMEN DIBUBARKAN TAHUN INI – KM HAJIJI

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berucap semasa Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Batu Sapi di Flat MPS Kampung Lupak Meluas Darat di sini hari ini...

SANDAKAN, SABAH – Sabah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negerinya untuk mengikuti pembubaran Parlimen kerana masih mempunyai tiga tahun lagi untuk berkhidmat penggal penuh.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata dikhabarkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan juga jika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen tahun ini.

“Tetapi, semua cakap-cakap ini tidak benar kerana kita masih mempunyai tiga tahun lagi untuk mentadbir Sabah,” katanya semasa Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Batu Sapi di Flat MPS Kampung Lupak Meluas Darat di sini hari ini.

Kerajaan Negeri GRS-Barisan Nasional menyambut ulang tahun kedua esok (26 Sept).

“Apa yang penting ialah kita terus memperkukuh GRS, gabungan yang mewakili rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah…

“Ada pihak yang mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan pada Oktober ini dan ada yang mengatakan ia akan diadakan tahun depan tetapi apa pun ianya GRS sudah bersedia,” kata Pengerusi GRS itu.

Hajiji juga mendedahkan bahawa semua parti komponen dalam GRS telah bersetuju untuk menggunakan simbol GRS dalam pilihan raya parlimen yang akan datang.

“Semua parti dalam GRS termasuk Parti Bersatu Sabah dan STAR telah bersetuju untuk menggunakan Simbol GRS dalam pilihan raya…

“Insya-Allah, kita akan muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya parlimen ini,” katanya.

Hajiji berkata kedua-dua GRS dan BN telah berikrar untuk bekerjasama membangunkan Sabah dan membawa kemajuan kepada rakyat.

“Jika calon Batu Sapi (kerusi parlimen) dipilih daripada GRS, kita tahu BN akan juga bekerja keras untuk memastikan kemenangan dan begitu juga jika calon BN dipilih, GRS akan bekerja sukar untuk memastikan calon menang kerana kita adalah kerajaan GRS-BN,” katanya.

“Kita mesti belajar daripada kesilapan politik masa lalu. Cukuplah..kita tidak perlu berpecah belah lagi,” katanya.

“Kali ini kita berharap dapat bekerjasama dengan cara terbaik dan membawa Sabah ke hadapan selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Hajiji juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri GRS-BN akan menangani semua isu yang menjejaskan penduduk di Batu Sapi itu seperti status penempatan setinggan.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun untuk melihat isu tersebut dan jika boleh mewartakan penempatan setinggan menjadi rizab kampung,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, wakil parti komponen GRS masing-masing, Ahli Majlis tertinggi GRS, Datuk Arifin Arif, dan Ketua GRS Batu Sapi Firdaus Khan dan wakil-wakil rakyat.