KUALA LUMPUR: DAP Sabah memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk pelantikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata keputusan tersebut dibentangkan oleh kepimpinan DAP Sabah dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bagi membincangkan prestasi parti dalam PRN berkenaan.
Menurutnya, meskipun tidak berada dalam struktur kerajaan negeri, pemimpin dan jentera DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat serta berusaha mengembalikan keyakinan pengundi terhadap parti itu.
Mengulas prestasi PRN Sabah, Loke berkata keputusan pilihan raya kali ini menggambarkan krisis keyakinan yang ketara terhadap DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“Kami telah menerima isyarat yang jelas daripada para pengundi. Pemimpin dan anggota yang terlibat sepanjang kempen amat sedar tentang ketidakpuasan yang meluas dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata DAP akan meneliti segala maklum balas yang diterima dan bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mempercepat pelaksanaan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.
PRU Sabah ke-17 menyaksikan DAP Sabah gagal mempertahankan kesemua enam kerusi penyandang yang ditandingi, selain tewas di dua kerusi baharu. Kerusi-kerusi berkenaan ialah Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura, Sri Tanjong serta dua kerusi baharu, Tanjung Aru dan Kemabong.






