SPnCA Bakal Raih Perhatian Antarabangsa Melalui Buku Panduan Pelancongan Regeneratif ASEAN

SPnCA Bakal Raih Perhatian Antarabangsa Melalui Buku Panduan Pelancongan Regeneratif ASEAN

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kawasan Konservasi Sungai Pin (SPnCA) bakal meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai salah satu kajian kes dalam ASEAN Handbook on Regenerative Tourism yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Para pakar percaya pengiktirafan ini akan mengukuhkan model pelancongan berasaskan konservasi Sabah di peringkat serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green Sdn Bhd, Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata pemilihan SPnCA menunjukkan semakin ramai yang mengiktiraf usaha negeri Sabah menggabungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pelancongan bertanggungjawab dalam kawasan pengeluaran.

Beliau melahirkan rasa gembira dengan pemilihan SPnCA dalam buku panduan ASEAN itu, susulan lawatan daripada Uni-Technologies Sdn Bhd, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta sebelum ini, Jabatan Perhutanan Sabah.

“Buku panduan ini dijangka diedarkan kepada negara-negara ASEAN dan rakan antarabangsa. SPnCA dipilih untuk diketengahkan bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi peluang untuk Sabah berkongsi kisah konservasinya kepada dunia,” katanya.

Mojilis berkata SPnCA kini menjadi contoh utama dalam usaha pemulihan hutan, penyelidikan dan pelancongan berasaskan komuniti, menunjukkan bahawa landskap sawit juga mampu menyokong pemeliharaan alam sekitar secara bermakna.

“Pelancongan regeneratif bukan sekadar membawa pelawat masuk. Ia tentang memastikan tempat itu menjadi lebih baik selepas dikunjungi. SPnCA membuktikan kawasan pengeluaran boleh mengekalkan biodiversiti yang sihat apabila diurus dengan bertanggungjawab,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa Sawit Kinabalu, syarikat induk SKG Green, telah lama memberi keutamaan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan aset alam semula jadi.

“Lawatan ini menyokong usaha serantau yang selari dengan visi kami untuk pelancongan berasaskan konservasi dan penyertaan komuniti. Kami berharap perkongsian maklumat di sini dapat membantu menghasilkan buku panduan ASEAN yang lebih bermakna dan berimpak,” katanya.

Dalam ucapan berasingan sempena lawatan Jabatan Perhutanan Sabah diketuai Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, Mojilis menekankan hubungan kerjasama jangka panjang antara Sawit Kinabalu dan Jabatan Perhutanan Sabah melalui Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada 2017.

MoU itu membuka jalan kepada penubuhan SPnCA seluas 2,632 hektar, yang diperuntukkan secara sukarela oleh Sawit Kinabalu sebagai zon konservasi dalam kawasan perladangannya.

“SPnCA bukan sekadar hutan. Ia merupakan koridor hidupan liar yang penting, menjadi laluan hijau untuk spesies seperti orang utan dan monyet belanda.

“Kerjasama kami dibina atas tanggungjawab bersama, berpandukan sains dan diperkukuh dengan rasa saling percaya,” katanya.

Mojilis turut memaklumkan bahawa SKG Green telah menterjemahkan MoU tersebut kepada tindakan nyata, termasuk menanam lebih daripada setengah juta pokok serta membangunkan pelan pengurusan rasmi dengan bimbingan teknikal Jabatan Perhutanan.

“Sumbangan kepakaran pasukan Jabatan Perhutanan amat penting untuk memastikan program kami selari dengan keutamaan konservasi negeri. Anugerah Partners for Conservation yang kami terima awal tahun ini sebenarnya adalah pengiktirafan terhadap kejayaan bersama,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar lawatan tersebut dapat mengeratkan lagi kerjasama dan membuka peluang baharu bagi inisiatif bersama.

“Ketika kami berusaha menjadikan SPnCA sebagai contoh pelancongan regeneratif di peringkat serantau, kerjasama tetap menjadi kekuatan utama kami,” katanya.