KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan untuk tempoh DUA (2) minggu lagi berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun 2021.
Perkara ini diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan dan mencadangkan dalam satu Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, supaya pelaksanaan PKP 3.0 dapat dilanjutkan lagi.
Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu hingga semalam ialah 6,871.
“Senarai positif, negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini,” katanya.