Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Teguh Sokong Kepimpinan Hajiji

Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Teguh Sokong Kepimpinan Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sayap Pergerakan Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tampil menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), susulan pembentukan Kabinet Negeri yang baharu.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, kedua-dua sayap parti menegaskan bahawa kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) baru-baru ini merupakan manifestasi jelas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Hajiji yang disifatkan matang, berwibawa, berwawasan serta berupaya membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesinambungan pembangunan negeri.

Pemuda dan Beliawanis turut menggesa seluruh jentera di semua peringkat untuk memperteguh kesatuan saf perjuangan serta memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Hajiji dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sokongan ini, menurut mereka, amat penting bagi memastikan semua agenda Sabah Maju Jaya 2.0 termasuk pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial dan kemajuan ekonomi dapat dilaksanakan secara tersusun, konsisten dan berkesan.

Kedua-dua sayap itu turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang baharu mengangkat sumpah, sambil menzahirkan keyakinan bahawa kabinet tersebut akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh, penambahbaikan tadbir urus, peluasan inisiatif kebajikan, pemberdayaan wanita serta pembangunan anak muda.

Dalam kenyataan itu juga, Pemuda dan Beliawanis menegaskan komitmen berterusan mereka sebagai wadah utama menyuarakan aspirasi serta harapan rakyat, khususnya suara golongan muda, kepada kepimpinan parti dan kerajaan.

Mereka turut menegaskan kesetiaan untuk terus akur dan patuh terhadap setiap keputusan kepimpinan demi menjamin kestabilan organisasi serta kelangsungan perjuangan membela nasib rakyat Sabah.

Kedua-dua sayap parti itu menyatakan keyakinan bahawa tempoh lima tahun pentadbiran yang akan datang bakal membuktikan kemampuan Kerajaan GRS Plus membawa Sabah ke arah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang.