Sabah Rancang Manfaatkan Tanah Terbiar DBKK Untuk Projek Kebun Komuniti – Jamawi

Sabah Rancang Manfaatkan Tanah Terbiar DBKK Untuk Projek Kebun Komuniti – Jamawi

0
SHARE

GUANGZHOU: Kerajaan Sabah sedang meneroka kemungkinan memanfaatkan tanah terbiar milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk dibangunkan sebagai kawasan kebun komuniti, sekali gus membuka peluang kepada penduduk bandar yang tidak memiliki tanah sendiri menjalankan aktiviti pertanian.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan DBKK bagi meneliti potensi pelaksanaan inisiatif berkenaan, khususnya untuk manfaat penduduk yang tinggal di kondominium dan apartmen.

Beliau berkata, cadangan itu mengambil inspirasi daripada konsep kebun komuniti yang dilaksanakan di China, yang menyediakan lot tanaman khusus kepada penduduk bandar untuk mengusahakan tanaman sayur-sayuran selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu.

Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan usaha Kerajaan Sabah memperkasakan inisiatif Kebun Dapur bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan.

Inisiatif itu akan diterokai secara bersama oleh agensi berkaitan di bawah sektor pertanian dan industri makanan serta DBKK.

Selain itu, usaha turut dirancang untuk memperkenalkan konsep Kebun Dapur di kawasan sekitar bangunan jabatan dan agensi di bawah kementerian bagi memperluaskan penyertaan masyarakat dalam aktiviti pertanian.

Jamawi berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama delegasi Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah ke Taman Pertanian Bandar Greater Bay Area di Guangzhou, China.

Lawatan berkenaan bertujuan meninjau perkembangan teknologi pertanian moden, bioteknologi dan inovasi penyelidikan yang berpotensi diaplikasikan dalam pembangunan sektor pertanian Sabah.

Dalam pada itu, Jamawi turut menyatakan kekagumannya terhadap pencapaian China dalam penggunaan bioteknologi dan penyelidikan bagi meningkatkan nilai serta daya saing produk pertanian.

Katanya, inovasi teknologi dan proses penambahan nilai mampu menjana pulangan ekonomi lebih tinggi, sekali gus meningkatkan pendapatan petani dan penternak tempatan.

Beliau turut melihat potensi kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam mempercepat pembangunan industri pertanian, perikanan serta makanan di Sabah.

Sementara itu, Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, lawatan tersebut memberikan perspektif baharu mengenai kepentingan perancangan industri, penyepaduan sumber dan strategi pemasaran dalam memajukan sektor pertanian.

Menurutnya, Sabah yang kaya dengan sumber pertanian, perikanan dan makanan berpotensi meningkatkan daya saing industri berkenaan dengan memanfaatkan pengalaman serta teknologi China.

Beliau berkata, pembangunan sektor pertanian tidak seharusnya tertumpu kepada pengeluaran semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira permintaan pasaran, pembangunan produk bernilai tambah dan strategi pemasaran yang berkesan.