PAPAR: Seorang lelaki cedera ringan selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan tanah di Jalan Sapat Mogon, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.33 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.
Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Ketua Balai BBP Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, seramai lapan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi dan tiba dalam tempoh empat minit selepas menerima panggilan.
“Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga dan sebuah lori 10 tan.
“Pemandu Proton Saga mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Papar menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM bagi memastikan keadaan terkawal serta keselamatan di lokasi kejadian.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain dan keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.57 pagi,” katanya.
Kemalangan itu masih dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian.






