
KOTA KINABALU, SABAH – Program Doa Sayangi Malaysia meraikan kesatuan dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan.
Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apison Lo berkata, program anjuran LKNS itu memberikan ruang dan peluang kepada rakyat Sabah yang bukan beragama Islam untuk turut sama menzahirkan doa kesejahteraan negara.
“Penganjuran program ini adalah selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sebuah negara dengan rakyat yang bersatu pada, memiliki semangat perpaduan yang tinggi dan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
“Sepanjang penganjuran program ini, pelbagai badan keagamaan bersama-sama menjayakan program ini walaupun berlainan kepercayaan dan fahaman.
“Selain mengukuhkan hubungan antara satu sama lain, program ini juga turut meraikan kesatuan dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan,” ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Datuk Susan Wong berkata, program tersebut merupakan platform yang baik dalam mempromosikan perpaduan kepelbagaian etnik, agama dan budaya di Sabah.
“Program ini memberikan peluang untuk melawat tempat ibadah lain seperti gereja dan kuil seterusnya membolehkan kami untuk belajar cara berdoa agama lain.
“Saya berharap agar keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai etnik di Sabah akan terus terpelihara agar kita dapat hidup dalam suasana yang aman dan gembira,” ujarnya.
Susan turut menjemput orang ramai untuk hadir bersama-sama memeriahkan program KK Torch Run anjuran FCAS yang diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan di Padang Merdeka mulai jam 7.00 pagi, Ahad depan.
Hadir sama, Presiden Persatuan Bumiputera Kristian Sabah, Rev. Jellin Wandak, Presiden Kinabalu Singh Sabha, Ram Singh dan wakil Presiden Malaysia Hindu Sangam Sabah, Mahaletchumi Sinnathamby. — JABATAN PENERANGAN SABAH